SHAH ALAM, 26 MEI: Program Selangor Saring fasa dua bagi mengesan penyakit lebih awal penduduk akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dan Hulu Bernam hujung minggu ini.
EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud menyarankan penduduk membawa ahli keluarga ke program itu yang bermula dari jam 9 pagi hingga 3 petang.
“Jangan lepaskan peluang menerima khidmat pemeriksaan kesihatan percuma meliputi pemeriksaan fizikal, ujian darah, air kencing, saringan kanser, mata, gigi, telinga dan juga fisioterapi,” katanya di Facebook.

Bagi DUN Permatang, program saringan kesihatan akan diadakan di Dewan Kampung Sg Gulang Gulang pada Sabtu, manakala DUN Hulu Bernam di Pejabat ADUN Hulu Bernam pada Ahad.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi talian hotline Selcar 1-800-22-6600 atau klik di pautan https://selangorsaring.selangkah.my/.
Sebelum ini, Dr Siti Mariah memaklumkan Selangor Saring antara enam inisiatif diperkenal khusus untuk rakyat negeri ini bermula dari saringan percuma, bantuan kewangan serta pembiayaan.

Kerajaan Negeri memperuntuk dana RM3.4 juta bagi melaksanakan program Selangor Saring yang menyasarkan individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.