AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ezad Lazim, Lan Solo meriahkan rumah terbuka Aidilfitri Selangor 12 Mei

SHAH ALAM, 5 MEI: Penyanyi Ezad Lazim dan Lan Solo bakal memeriahkan sambutan rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Sabak Bernam pada 12 Mei.

Majlis Daerah Sabak Bernam memaklumkan majlis di Dataran Tanah Lesen Parit Baru bakal menyajikan pelbagai jenis juadah kepada tetamu melalui 37 gerai mulai 8 malam.

“Mereka boleh menikmati pelbagai menu antaranya sate, kambing bakar, lemang, rendang dan kuih-muih tradisional, air balang dan pelbagi jenis bubur serta sup,” katanya di Facebook hari ini.

Pihak berkuasa tempatan itu menambah hadiah motosikal dan pelbagai barangan elektrik turut ditawarkan kepada pengunjung bertuah selain wang tunai untuk beberapa pertandingan antaranya karaoke lagu raya.

Orang ramai menghadiri program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Klang di Padang Taman Sri Kerayong, Kapar pada 30 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Program yang diadakan tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal bermula 28 April berlangsung di Sepang, Hulu Selangor, Klang dan Hulu Langat malam ini.

Ia diteruskan esok di tapak Pasar Malam Paya Jaras, Sungai Buloh (6 Mei), Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan Padang Awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak pada 14 Mei, yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata jelajah tersebut antara inisiatif yang memberi peluang kepada segenap lapisan rakyat bertemu pemimpin negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program itu mendapat sambutan sejak dianjurkan dan negeri memperuntuk RM200,000 bagi menjayakannya di sesebuah daerah.

 

 


Pengarang :