Orang ramai membanjiri rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Langat di Taman Sri Nanding, Kajang pada 5 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Ezad Lazim, Lan Solo meriahkan rumah terbuka negeri di Sabak Bernam 12 Mei

SHAH ALAM, 8 MEI: Penyanyi terkenal Ezad Lazim dan Lan Solo bakal memeriahkan sambutan rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Sabak Bernam, Jumaat ini.

Majlis Daerah Sabak Bernam memaklumkan majlis yang menyajikan pelbagai jenis juadah raya kepada tetamu melalui 37 gerai berlangsung di Dataran Tanah Lesen Parit Baru bakal mulai 8 malam.

“Mereka boleh menikmati pelbagai menu antaranya sate, kambing bakar, lemang, rendang dan kuih-muih tradisional, air balang dan pelbagi jenis bubur serta sup,” maklumnya di Facebook pada 5 Mei.

Pihak berkuasa tempatan itu menambah hadiah motosikal dan pelbagai barangan elektrik turut ditawarkan kepada pengunjung bertuah selain wang tunai untuk beberapa pertandingan antaranya karaoke lagu raya.

Program yang diadakan tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal bermula 28 April telah berlangsung di Sepang, Hulu Selangor, Klang, Hulu Langat dan Petaling.

Ia diteruskan di Sabak Bernam, Padang Awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei) dan berakhir di tapak Uptown Sri Gombak pada 14 Mei, yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata jelajah tersebut antara inisiatif yang memberi peluang kepada segenap lapisan rakyat bertemu pemimpin negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program itu mendapat sambutan sejak dianjurkan dan negeri memperuntuk RM200,000 bagi menjayakannya di sesebuah daerah.


Pengarang :