Tokoh Ulama dari Pattani, Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian secara membaca sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali sempena festival turath islami selangor di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Festival Turath Islami angkat kitab Ihya Ulumuddin, tampil tokoh ulama antarabangsa

SHAH ALAM, 1 MEI: Festival Turath Islami Selangor anjuran Kerajaan Negeri mengangkat perbincangan dan penghayatan tentang kitab Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata festival tersebut menandakan permulaan terjemahan 10 jilid kitab itu buat kali pertamanya dalam bahasa Melayu.

“Sebagai langkah membuka peluang kepada rakyat Selangor dan Malaysia untuk meraih manfaat daripada perbincangan kitab ini, festival ini akan menampilkan tokoh ulama antarabangsa tersohor yang juga mantan Mufti Agung Republik Rakyat Mesir, Syeikh Dr. Ali Jum’ah.

“Festival ini juga akan menghimpunkan tokoh-tokoh yang berpengaruh dan terhormat di rantau ini dalam bidang mereka seperti Prof. Dr. Aqil Siroj, Dr. Nadirsyah Hosen dan Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni dan Baba Hj Ghazali Ahmad dari negara-negara jiran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Amirudin turut berkata, festival dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) itu menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia.

“Ia merangkumi tujuh komponen termasuk Daurah Afkar Ihya Ulumuddin, seminar penghayatan Ihya Ulumuddin dan interaksi bersama pemegang taruh seperti pimpinan pendidikan, ahli akademik, graduan universiti, dan disempurnakan dengan program Muzakarah Ulama Umara.

“Saya harap usaha ini dapat menyemarakkan kegiatan keilmuan serta membangkitkan kehangatan ilmu kepada segenap penganut Islam di Malaysia,” katanya lagi.

Pendaftaran program boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari https://www.turathislamiselangor.com/

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya mulai tahun ini termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang bakal diterbit dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.


Pengarang :