Orang ramai mengikuti Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Festival Turath: Peserta luar negara enggan lepas peluang kenali Imam al-Ghazali

SHAH ALAM, 23 MEI: Seorang rakyat Indonesia sanggup mengambil cuti bagi menghadiri Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde di sini.

Sayid Muhammad Rosli Sayid Mohd Zain Asagoff, 23, dari Solo, Jawa Tengah berkata beliau mahu mengenali Imam al-Ghazali dengan lebih dekat menerusi kupasan ilmuwan terkenal.

“Imam al-Ghazali merupakan idola saya. Saya datang ke sini kerana pengisian program yang menceritakan mengenai beliau.

Sayid Muhammad Rosli Sayid Muhammad Zain Asagof, 23. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya juga ambil kesempatan untuk bertemu tokoh Islam dari Indonesia seperti Prof Dr Kiai Said Aqil Siradj yang saya hormati,” katanya yang kini bekerja di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mohd Fuad Yussof, 37, berkata beliau sanggup memandu jauh membawa isteri serta rakannya bagi sama-sama menghayati karya Imam al-Ghazali.

Beliau yang berasal dari Pattani, Thailand berkata program tersebut diibaratkan sebagai ‘peluang keemasan’ untuk menyelami karya agung Ihya’ Ulumuddin.

“Saya amat berpuas hati dengan penganjuran acara ini. Saya juga dapat bertemu dengan ramai rakan baharu yang turut seronok dengan program ini.

Mohd Fuad Yusof, 37. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Moga ia dapat diteruskan dan saya kira majlis ilmu seperti ini amat bernilai kepada insan seperti saya dan rakan-rakan,” katanya.

Festival Turath Islami Selangor diadakan 20 hingga 25 Mei itu bersempena projek julung kali terjemahan Bahasa Melayu kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali oleh Kerajaan Selangor.


Pengarang :