Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir ke tayangan perdana filem ‘Anwar: The Untold Story’ di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada 8 Mei 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Filem biopik Anwar ditayang di 28 pawagam seluruh negeri mulai 18 Mei

OLEH FITRI HAZIM

SHAH ALAM, 16 MEI: Filem Anwar: The Untold Story yang memaparkan liku perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ditayangkan di 28 pawagam seluruh negeri bermula 18 Mei.

Filem arahan pengarah Indonesia Viva Westi dibintangi Farid Kamil Zahari sebagai Anwar manakala aktres terkenal Indonesia Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berlatar antara 1993 hingga 1998, karya tersebut menceritakan perjalanan hidup Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dalam perjuangannya menentang amalan rasuah.

Antara pawagam di Selangor yang menayangkan filem tersebut ialah GSC Summit USJ, GSC Setia City, GSC IOI Puchong, GSC One Utama, GSC Subang Parade, GSC Malawati Mall dan GSC Paradigm PJ.

Penonton juga berpeluang menonton filem berkenaan di TGV One Utama, TGV Sunway Pyramid, TGV Jaya 33, TGV Mines, TGV Bukit Tinggi, TGV Bukit Raja dan TGV i-City Shah Alam.

Penerbit Eksekutifnya Zunar atau Zulkiflee Anwar Haque, seorang kartunis politik yang dikenali ramai sangat dekat dengan gerakan protes tersebut sejak 1998, turut menyediakan skrip asal.

“Karya ini kita sudah usahakan sebelum beliau menjadi perdana menteri (pada 24 November 2022) lagi. Kita, ketika itu, tidak menyangka yang beliau akan jadi perdana menteri.

“Dalam filem ini juga, banyak penggambaran dijalankan di Indonesia atas beberapa faktor halangan (politik) antaranya izin penggambaran dan pelbagai lagi,” jelasnya kepada media pada 1 Mac.

Filem biopik terbitan Yusrych Global turut menampilkan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebagai penyanyi lagu runut bunyi berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik Sekar Ayu Asmara.


Pengarang :