Forum sempena Hari Perundangan Syariah menampilkan Pengarah Kanan Kehakiman di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Muhamad Zakian Dio (kanan) dan Pengarah Kanan Jabatan Bantuan Guaman Selangor Aiman Roslan (kiri) sebagai panel manakala moderator oleh Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Selangor Atras Mohamad Zin. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Gubal enakmen bantu pendakwaan ‘orang ketiga’ ganggu rumah tangga di media elektronik

SHAH ALAM, 9 MEI: Jabatan kehakiman syariah di seluruh negara perlu meminda Enakmen Keterangan Syariah, khusus bagi kesalahan gangguan rumah tangga.

Pengarah Kanan Kehakiman di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia berkata enakmen tersebut ketika ini tidak boleh digunapakai untuk membuktikan kesalahan yang dibuat menerusi media elektronik.

Pengarah Kanan Kehakiman di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Muhamad Zakian Dio. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

“Zaman sekarang ini, lazimnya pihak ketiga akan menggunakan platform media sosial, email, atau WhatsApp untuk menggoda atau menggangu rumah tangga.

“Jadi, terdapat kesukaran kepada kita untuk buktikan kerana enakmen pertuduhan perlu ada lokasi, dan beberapa butiran lain yang penting. Ia agak mencabar,” kata Muhamad Zakian Dio.

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai panelis pada forum bertajuk bidang kuasa jenayah syariah, peranan institusi kehakiman syariah dan guaman syarie di Pusat Konvesyen Shah Alam di sini, hari ini.

Forum yang diadakan sempena Hari Perundangan Syariah itu turut menampilkan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Bantuan Guaman Selangor, Aiman Roslan sebagai panelis dan moderator oleh Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Atras Mohamad Zin.

Muhamad Zakian berkata selain pindaan enakmen, sistem perundangan syariah juga perlu bekerjasama dengan agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membantu pendakwaan.

Jelasnya, kekurangan bukti dan keterangan kukuh menyukarkan kes gangguan rumah tangga didakwa di mahkamah syariah meskipun terdapat peruntukan undang-undang berhubung kesalahan itu.

“Banyak kes yang tidak diteruskan kerana tidak cukup bukti. Enakmen syariah tersebut perlu ditambah atau digubal seperti perundangan sivil yang juga baharu lakukan pindaan bagi kesalahan serupa,” katanya.

Kira-kira 250 peserta terdiri daripada pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi awam (IPTA), pentadbir masjid serta kakitangan perundangan dari pelbagai agensi menghadiri forum anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor itu.


Pengarang :