Malaysia menyasarkan untuk mempercepat pelancaran 5G bagi mencapai 80 peratus liputan 5G pada akhir 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Guna tapak 4G percepat 5G, sasar 80 peratus liputan menjelang akhir tahun

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Digital Nasional Bhd (DNB) dan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) boleh menggunakan tapak 4G sedia ada untuk mencapai sasaran liputan 5G sebanyak 80 peratus menjelang akhir tahun, kata penganalisis.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Tharek Abdul Rahman berkata pelaksanaan 5G di negara ini telah mencapai 57.8 peratus setakat ini manakala liputan rangkaian 4G negara merangkumi 96.92 peratus di kawasan berpenduduk sehingga Mac lepas.

“Oleh itu, DNB dan MNO boleh menggunakan tapak sedia ada untuk rangkaian 4G bagi mencapai baki sasaran 22.2 peratus untuk liputan 5G. Tapak 4G ini dapat mempercepatkan sasaran liputan yang lebih baik daripada melancarkan tapak baharu, yang memerlukan kelulusan dan sebagainya.

“Selain itu, kekerapan yang digunakan untuk 5G adalah tidak berbeza dengan frekuensi 4G,” katanya kepada Bernama.

Malaysia menyasarkan untuk mempercepatkan pelancaran 5G untuk mencapai 80 peratus liputan 5G pada akhir 2023, iaitu setahun lebih awal daripada jadual DNB.

Tharek berkata sasaran semasa boleh dicapai berdasarkan kejayaan ketersediaan perkhidmatan 5G secara komersial di kawasan Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

“Baki 22.2 peratus boleh dicapai mengambil kira apa yang telah dilaksanakan sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Utama GlobalData Alfie Amir berpendapat bahawa DNB, yang mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam mencapai sasaran liputan sebelum ini, boleh mencapai sasaran akhir tahun dengan menggunakan 700MHz, iaitu jalur frekuensi yang rendah menawarkan penembusan liputan yang lebih baik.

“Mencapai liputan 80 peratus adalah penting bagi Malaysia untuk terus bersaing dengan negara-negara jiran.

“Selain itu, perluasan liputan 5G akan merangkumi kawasan komersial terpencil seperti kilang pembuatan, ladang pertanian, pelabuhan dan tapak perlombongan.

“Teknologi penting untuk industri ini kerana ia dapat mengupayakan pelbagai aplikasi perindustrian baharu seperti operasi dan penyelenggaraan jauh melalui robot, peralatan yang berhubung, AR/VR, automasi masa nyata dan pengawasan yang didayakan AI,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :