BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Guru Kafa bersyukur Kerajaan Negeri naik gaji, beri pelbagai insentif

Kerajaan Negeri sentiasa cakna kebajikan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Kafa Integrasi (Kafa-i) dan sekolah agama selaras keperluan semasa.

Mulai tahun ini, Kerajaan Selangor mengambil inisiatif menyelaraskan elaun supaya kelompok itu turut menikmati gaji minimum RM1,500. Langkah itu bakal memanfaatkan 2,825 guru yang masih dibayar elaun serendah RM1,350 sebulan.

Perbelanjaan RM4.8 juta diluluskan dalam Belanjawan Negeri 2023 yang dibentang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada November lalu.

Sebagai tambahan, Amirudin pada 13 April turut mengumumkan kajian semula tangga gaji bagi mengurangkan beban mereka termasuk guru sekolah agama yang terpaksa menunggu kenaikan pangkat serta gaji untuk tempoh lama.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama wakil guru selepas majlis penyerahan bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) berjumlah RM9.3 juta di Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Al-Maarof, Johan Setia, Klang pada 11 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dua tahun sebelum itu, Kerajaan Negeri memperkenal caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disambut baik Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Perbelanjaan RM1.1 juta untuk bayaran Perkeso itu memanfaatkan 4,200 guru Kafa sebagai perlindungan jika terbabit dalam kemalangan ketika berulang-alik ke tempat mengajar.

Kerajaan Negeri turut menyediakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bantuan khas kewangan sempena Aidilfitri turut diberi kepada guru Kafa dan sekolah agama yang dinikmati 1,687 pendidik pada tahun ini.

Seramai 32 penyelia Kafa turut menerima manfaat hasil urus tadbir baik Kerajaan Selangor. Mulai tahun ini, insentif khas RM100 setiap bulan dinikmati golongan itu untuk meningkatkan semangat mereka mengurus institusi berkenaan.

Pendidikan agama kepada anak-anak Selangor menjadi keutamaan. Sebanyak RM5 juta setahun diluluskan pada 2022 dan tahun ini sebagai subsidi bayaran yuran pelajar RM30 sebulan kepada Kafa-i.

Bantuan ini dinikmati murid 296 Kafa-i, sekali gus membantu menyelesaikan tunggakan yuran bulanan membabitkan 14,000 murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Untuk memajukan lagi pendidikan Islam, menyediakan RM14.6 juta lagi untuk melantik 656 guru Kafa dalam tempoh hingga 2027. Sebagai langkah awal, seramai 150 orang dilantik tahun ini.

Berikut reaksi beberapa guru yang mendapat manfaat usaha itu dalam temu bual pada 24 Mac.

“Alhamdulillah Kerajaan Negeri dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sentiasa berusaha meningkatkan kebajikan guru agama.

“Contohnya sedia cuti bersalin termasuk tiga hari untuk suami, elaun pun naik kepada RM1,500 dan pemberian bantuan khas kewangan.”

Aris Depungeng, guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain Integrasi (Kafa-i) Masjid Bandar Sultan Sulaiman, Klang

“Bertugas sejak 24 tahun lalu, saya lihat banyak perubahan terutama dari segi kebajikan guru sekolah agama dalam beberapa tahun kebelakangan ini seperti caruman Perkeso.

“Saya harap Kerajaan Negeri akan terus memartabatkan pendidik yang membentuk masyarakat seimbang di antara dunia dan akhirat.”

Nor Zulia Dasuki, guru Kafa-i Ar-Razi Subang Dua, Shah Alam

“Saya melihat pengurusan untuk kebajikan guru sekolah agama semakin baik dan bersistematik berbanding dahulu, bukan sahaja dari segi elaun yang naik kepada RM1,500.

“Macam-macam kemudahan seperti cuti khas dinikmati penjawat awam, dahulu elaun masuk cek sekarang mudah dimasukkan terus ke akaun bank…jadi tidak perlu susah payah ke pejabat.”

Norlinawati Ibrahim, guru Kafa-i Sungai Kapar Indah, Klang

“Alhamdulillah banyak kemudahan kami dapat seperti gaji minimum, caruman KWSP dan Perkeso.

“Ini menambah semangat kami untuk berkhidmat kerana kebajikan dijaga, mungkin selepas ini Kerajaan Negeri kena lihat perbezaan keperluan dan beban guru di bandar serta luar bandar.”

Hanim Supian, guru Kafa-i Masjid Subang Perdana, Subang Jaya

“Saya dahulu bermula dengan elaun RM250 dan sekarang naik RM1,850 sebagai ketua guru, banyak bezanya dan dapatlah berbelanja sedikit.

“Saya berharap usaha tambah baik ini diteruskan, pertama ubah daripada elaun kepada gaji supaya kami dapat menikmati keistimewaan seperti penjawat awam seperti pembiayaan bank bagi membeli rumah atau kereta.”

Khusaini Sarnuji, guru Kafa-i Masjid Al-Faizin Seksyen 28, Shah Alam

“Saya bersyukur usaha Kerajaan Negeri membantu kami, saya dahulu elaun RM300 kemudian naik kepada RM660 dan sekarang RM1,500.

“Sebelum ini pun kami ‘kurang dipandang’ dan sekarang dapat pelbagai insentif seperti bantuan khas Aidilfitri dan hujung tahun, namun masih ada ruang boleh ditambah.”

Muhammad Nur Anuar, guru Sekolah Rendah Agama Kampung Medan 2, Petaling Jaya


Pengarang :