Oleh Diana Abd Wahab
SHAH ALAM, 11 MEI: Hampir 3,000 pengunjung berbilang kaum hadir memeriahkan majlis rumah terbuka Aidilfitri Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali.
Saifuddin Shafi Muhammad berkata acara yang berlangsung dari 11 pagi hingga 2 petang itu diadakan di Dewan Komuniti Bukit Sentosa, Hulu Selangor.
“Syukur Alhamdulillah! Terima kasih buat hampir 3,000 penduduk Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dan Bandar Sungai Buaya yang membanjiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Penyelaras Dun Batang Kali semalam.
“Majlis yang mengundang penduduk sekitar dan pemimpin masyarakat selepas sekian lama tiada majlis sebegini akibat pandemik selama beberapa tahun,” katanya di Facebook.
Saifuddin berkata pihaknya turut memberikan duit raya kepada 200 kanak-kanak. Selain itu, seramai 10 pengunjung memenangi cabutan bertuah sempena sambutan Hari Ibu.
Pengunjung turut disajikan dengan pelbagai juadah yang disediakan antaranya Menu Rahmah Nasi Kak Wok, char kuetiau, mi kari, apam balik, lemang dan rendang, sate, nasi lemak bungkus, kuih-muih, cendol serta air balang.