SELANGOR

Hari Guru: GM Klang beri baucar makanan percuma kepada guru

KUALA LUMPUR 14 MEI: Pusat Borong GM Klang akan menganjurkan kempen ‘Cikgu, Jom Makan!’ khas buat guru di Malaysia bermula dari 16 Mei hingga 31 Mei depan.

Pengurus Kanan Komunikasi Jenama Pusat Borong GM Klang Norsuhaida Othman berkata penganjuran kempen itu adalah bagi menghargai jasa amat besar guru mendidik anak bangsa, bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun.

“Sebagai tanda penghargaan buat semua guru yang sudi berkunjung ke GM Klang, baucar makanan istimewa akan diagihkan secara percuma kepada 500 orang guru terawal yang membeli-belah sebanyak RM100 dan ke atas di mana-mana kedai di GM Klang dalam gabungan dua resit maksimum dan baucar ini boleh ditebus melalui Aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang.

“Untuk langkah penebusan, caranya mudah sahaja, para guru hanya perlu membawa resit perbelanjaan ke Kaunter Khidmat Pelanggan serta pamerkan gambar bersama murid-murid di sekolah sebagai pengesahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain tanda penghargaan kepada barisan pendidik negara, pemberian baucar itu juga adalah sebahagian daripada komitmen Pusat Borong GM Klang untuk menyumbang kepada komuniti.

“Ini sekali gus dapat mendedahkan kelebihan Aplikasi Bisnes Komuniti GM Klang kepada guru-guru yang mungkin menantikan aktiviti dan promosi-promosi hebat di Pusat Borong GM Klang.

“Para guru juga merupakan kelompok pelanggan GM Klang yang besar. Kebanyakan daripada mereka ke Pusat Borong GM Klang untuk mendapatkan barangan keperluan majlis di sekolah-sekolah dengan harga borong,” katanya.

Selain itu, Norsuhaida berkata ada juga guru yang membawa rombongan lawatan sambil belajar untuk dijadikan inspirasi kepada pelajar-pelajar yang ingin menceburi bidang perniagaan suatu hari nanti.

“Menerusi kempen ini, sambil para guru berbelanja di sini sama ada bagi mencari kelengkapan barangan di sekolah mahu pun persendirian, dapatlah mereka singgah makan secara percuma yang dibelanja khas oleh GM Klang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :