Peserta Endurance Challenge berbasikal ketika program Selamat Pagi Subang Jaya @ Hari Tanpa Kenderaan di Jalan Kemajuan Subang, Subang Jaya pada 5 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan MBSJ sedia lebih 10 aktiviti untuk pengunjung

Oleh Diana Abd Wahab

SUBANG JAYA, 25 MEI: Lebih sepuluh aktiviti disediakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) kepada pengunjung dalam program Hari Tanpa Kenderaan MBSJ @ Selamat Pagi Subang Jaya edisi ke-10 4 Jun ini.

Datuk Bandarnya berkata program diadakan di Jalan SS16/1 berhadapan pasar raya Aeon Big Subang Jaya dan Subang Parade turut dimeriahkan dengan pertandingan daya tahan (basikal).

“Pelbagai aktiviti tambahan dirangka dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung menyertai program ini.

“Antara program dirangka adalah endurance race (basikal), pertandingan karaoke, TikTok dan Insta Contest, pertandingan berbasikal kanak-kanak (run bike), streetball dan street soccer,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat bulanan pihak berkuasa tempatan itu di Ibu Pejabat MBSJ, Subang Jaya semalam.

Menurut Mohd Fauzi aktiviti larian, berjalan santai, berbasikal, pemeriksaan kesihatan percuma, memanah, bekam, abseiling, rope repelling serta cabutan bertuah juga disediakan.

Hari Tanpa Kenderaan MBSJ @ Selamat Pagi Subang Jaya yang bermula sejak Ogos tahun lalu dianjurkan pada Ahad minggu pertama setiap bulan.

Program terbabit antara usaha menjadikan MBSJ sebagai bandar rendah karbon menjelang 2030.


Pengarang :