Oleh Norrasyidah Arshad dan Sofia Nasir
SHAH ALAM, 19 MEI: Seawal jam 7 pagi, hampir 1,000 penduduk membanjiri Dataran Tanah Lesen di Sabak Bernam.
Mereka terlibat dalam gotong-royong memasak juadah untuk program Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat daerah berkenaan pada 12 Mei.
Penduduk dibahagi dalam kumpulan untuk menyiapkan menu tertentu. Ada masak lemang. Ada sediakan ketupat. Ada menggulai rendang. Ada juga juadah yang ditempah termasuk nasi ambeng.
Suasana gamat dan meriah. Mereka rancak berborak, bergelak tawa, sesekali berjenaka sesama ahli kumpulan. Pun begitu, tangan tetap ligat menyiapkan kerja.
Yang wanita laju mengupas bawang, ada membasuh pulut, menganyam ketupat dan bermacam-macam lagi. Lelaki pula hidupkan api atau susun meja. Ada juga menjaga lembu untuk disembelih.

Sambil bekerja, mereka berborak. Didiami ramai etnik Jawa, ramai menggunakan loghat itu. Yang tidak faham, hanya terpinga-pinga. Namun, mereka terus bergandingan bergotong-royong.
Meski rewang ‘dikuasai’ golongan berusia, tidak kurang anak muda yang ringan tulang. Mereka juga tidak kekok membuat kerja, mungkin kerap menyertai rewang sekitar kampung berdekatan.
Suasana riuh
Tambah meriah, pelbagai acara sampingan dianjur. Pentas kecil turut dibina. Dari peraduan karaoke lagu raya hingga pertandingan hiasan pulut kuning dan gubahan samping turut dibuat.
Walau suara tidak semerdu artis, keceriaan tetap terpapar. Tambah gamat apabila peserta yang menggubah samping berserta lengkap busana Melayu membuat ‘catwalk’ depan khalayak.
Suasana hampir sama turut dirasai dalam program rewang Dewan Taman Seri Kerayong, Klang pada 30 April yang disertai lebih 200 orang meski tidak menganjurkan sebarang pertandingan.
Menurut Ketua Kampung Tok Muda, Klang Samsuddin Leman yang mengetuai kumpulan untuk menyediakan 100 lemang, persiapan dibuat lebih awal sebelum mereka berkumpul di dewan itu.

“Ini untuk mudahkan kerja. Bila datang ke rewang, tinggal basuh beras pulut dan masukkan ke buluh. Lepas itu bakar. Jadi, kita jimat masa kerana kena siapkan banyak lemang.
“Saya sendiri bertanggungjawab pantau semua proses. Bukan semua penduduk yang sertai rewang ada pengalaman, jadi mereka kena diajar. Kena tunjuk cara-caranya,” katanya.
Ketua Kampung Bukit Kapar Md Jamaludin Ramlan yang kumpulannya bertanggungjawab menyediakan 300 ketupat pula menjelaskan daun kelapa untuk ketupat ditempah sehari awal.
“Proses anyaman ambil masa singkat sebab ramai pandai. Memasak tidak perlu tenaga ramai. Hanya biarkan ke periuk yang ditabur garam dan daun pandan. Pantau agar masak sekata,” katanya.

Kemeriahan itu mengimbau kenangan zaman kanak-kanak Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang membesar dalam suasana kampung. Rewang antara tradisi yang lazim ketika itu.
Turut sama menggaul dodol dan rendang serta melapah daging lembu di kedua-dua lokasi itu, beliau berharap amalan yang sinonim dengan masyarakat Melayu terus berkekalan.
“Saya harap program rewang terus dihidupkan semula supaya menjadi amalan untuk menguatkan kesepakatan dan silaturahim dalam masyarakat,” katanya.
Lebih 10,000 orang mengunjungi majlis rumah terbuka setiap satu di Klang dan Sabak Bernam manakala 35,000 lagi di Gombak yang bersekali acara rumah terbuka Malaysia Madani.