Orang ramai membeli buku di reruai jualan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

IBDE: Buku terjemahan kisah Imam al-Ghazali dijual di Festival Turath

SHAH ALAM, 21 MEI: Buku kisah ulama tersohor Imam al-Ghazali terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dijual sempena Festival Turath Islami Selangor yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pegawai Jualan dan Pemasarannya, Mohamad Hakim Mohamad Hood berkata naskhah terjemahan tersebut antaranya berjudul Perihal Kesederhanaan Dalam Beriktikad, Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik dan Ilmu Kalam: Tegahan buat Orang Awam.

Pegawai Jualan dan Pemasaran IBDE, Mohamad Hakim Mohamad Hood bercakap kepada SelangorKini ketika jualan buku di Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Rerurai IBDE dibuka mulai semalam dan hanya sehingga esok. Ramai peserta datang bertanyakan buku mengenai Imam al-Ghazali.

“Ada juga bertanyakan buku berjudul Penyelamat daripada Kesesatan, namun IBDE tidak dapat membawanya kerana telah habis.

“Selain itu, buku baharu berjudul Hayat & Jasa Ilmuan Ulung ditulis W. Montgomery Watt yang merupakan pengkaji Imam al-Ghazali juga mendapat permintaan” katanya ditemui di reruai IBDE sempena Festival Turath Islami Selangor hari ini.

Selain itu, Mohamad Hakim berkata buku lain yang turut menjadi tarikan ialah karya berjudul Muhammad Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karangan Martin Lings (atau Abu Bakar Sirajuddin) dan Abu Bakr As-Siddiq nukilan Muhammad Hussein Haikal.

Festival Turath Islami Selangor anjuran Kerajaan Negeri bertujuan mengangkat perbincangan dan penghayatan mengenai kitab Ihya’ Ulumuddin.

Festival kali pertama dianjurkan dalam bahasa Melayu merangkumi lapan acara termasuk Daurah Afkar Ihya Ulumuddin, seminar penghayatan Ihya Ulumuddin dan interaksi bersama pemegang taruh seperti pimpinan pendidikan.

Dengan kerjasama IBDE, festival ini menyasarkan penyertaan 2,500 peserta.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya mulai tahun ini termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang bakal diterbit dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Orang ramai mendengar Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :