Sekitar penggambaran drama Selalu Ada di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam pada 4 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Iltizam Selangor Penyayang diterjemah dalam drama Selalu Ada

SHAH ALAM, 2 MEI: Kerajaan Negeri mengambil langkah berbeza dalam memberi penerangan berkaitan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dengan menerbitkan drama Selalu Ada yang bakal ditayangkan esok di TV2 jam 9 malam.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata drama arahan Che Mie itu mengupas bagaimana setiap inisiatif Kerajaan Negeri memberi manfaat kepada seluruh rakyat Selangor.

Jelasnya, menerusi drama ini, penonton diberi penerangan secara umumnya berkenaan 43 program yang memanfaatkan semua golongan bermula bayi, anak masuk belajar, dewasa dan warga emas.

Tangkap layar EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1 pada 2 Mei 2023

“Kita tidak dapat masukkan semua dan menerusi drama ini ada 20 inisiatif dikongsi serta selebihnya menerusi poster dan papan iklan pada babak-babak seperti di hentian bas.

“Drama ini sesuai dengan agenda Kerajaan Negeri yang memastikan tiada golongan di Selangor terlepas,” katanya dalam program temubual Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 hari ini.

Tambah Borhan, semua pelakon yang menjayakan drama Selalu Ada ini membantu dalam menyampaikan mesej yang ingin dibawa Kerajaan Negeri.

“Kita lihat apabila skrip diberikan dalam masa singkat, mereka sangat profesional dan boleh menjiwainya. Malah, tidak sangka nama-nama besar ini terima dan bersama untuk drama yang bukannya bersiri.

“Alahmdulillah pengambaran di Sekinchan dan Perpustakaan Shah Alam berjalan lancar dan mereka menyampaikan hasrat program Kerajaan Negeri,” katanya.

Drama Selalu Ada sepanjang 45 minit itu mengisahkan cabaran yang ditempuhi tiga sahabat untuk melanjut pengajian ke menara gading.

Barisan pelakon drama Selalu Ada menjalani penggambaran di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam pada 5 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Karya tersebut juga menyelitkan pelbagai bentuk bantuan yang disediakan pentadbiran negeri kepada segenap lapisan masyarakat berpendapatan rendah.

Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM600 juta setahun untuk menjayakan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memastikan kebajikan rakyat terbela menerusi lebih 40 pakej bantuan.

Program itu memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

ISP disusun semula dari program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor yang bermula dari tujuh tawaran bantuan pada pilihan raya 2008 supaya kehidupan rakyat terbela.


Pengarang :