EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim menyantuni tetamu yang hadir sempena Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Langat di Taman Sri Nanding, Kajang pada 5 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah Aidilfitri program terbesar negeri selepas banjir, Covid-19

KAJANG, 6 MEI: Jelajah Kita Selangor Aidilfitri merupakan antara program terbesar Kerajaan Negeri selepas Selangor berdepan pelbagai cabaran termasuk Covid-19 dan banjir, maklum EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata program rumah terbuka Aidilfitri itu memberi peluang rakyat bertemu dengan pemimpin negeri selepas Selangor bangkit dan pulih menjadi negeri maju.

“Selangor telah melalui satu fasa pentadbiran mencabar dan diakui sangat tertekan dengan beberapa insiden. Tetapi dengan kerjasama semua peringkat Kerajaan Negeri, jabatan, kakitangan awam dan rakyat kita semua berjaya melaluinya.

“Kita negeri awal yang beri vaksin secara percuma dan beri sumbangan kepada petugas barisan hadapan. Malah, kita juga bantu rakyat menangani masalah pembayaran hutang dan mengagihkan bakul makanan.

“Tidak lama itu, kita berdepan dengan banjir pula sehingga rakyat tertekan. Biarpun ada beberapa kelemahan, kita berjaya bangkit dan tanganinya selain beri bantuan kepada mangsa banjir sebanyak RM1,000,” ucapnya.

Beliau berucap pada Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Hulu Langat di tapak Agora Night Market, Taman Sri Nanding yang turut dihadiri EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian dan EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.

Jelajah Kita Selangor Aidilfitri diteruskan minggu ini bermula di Hulu Langat diikuti daerah Petaling bertempat di tapak pasar malam Sungai Buloh (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Program tersebut diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Minggu lalu, program rumah terbuka Aidilfitri yang berlangsung di sembilan daerah dimulakan di Sepang, Hulu Selangor dan Klang.


Pengarang :