Jenazah peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat tiba di Kompleks Kargo KLIA pada 27 Mei 2023 menerusi penerbangan MH115 dari Kathmandu, Nepal. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Jenazah pendaki Malaysia tiba di KLIA, dikebumikan di Sabah

SEPANG, 27 MEI: Jenazah peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 7.30 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah mangsa diterbangkan menerusi pesawat MH115 yang berlepas dari Kathmandu, Nepal semalam pada jam 11.30 malam (waktu Kathmandu).

Jenazah dibawa balik ke Kota Kinabalu, Sabah dengan penerbangan MH2646 jam 11.35 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada 2.15 petang ini.

Sesi penghormatan terakhir diadakan di Kompleks Kargo KLIA disertai lebih 70 anggota APM selain bacaan Yasin dan tahlil dipimpin Lt Bersekutu Pertahanan Awam Miszlee Samais.

Raja Muda Kedah Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff turut berkenan berangkat menziarahi jenazah dan memberi penghormatan terakhir.


Jenazah peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat tiba di Kompleks Kargo KLIA pada 27 Mei 2023 menerusi penerbangan MH115 dari Kathmandu, Nepal. Foto Bernama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali semalam dilaporkan berkata atas permintaan ahli keluarga, jenazah akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar, Sabah dan kemudiannya ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk solat jenazah.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Benoni dengan mengikut istiadat penghormatan APM.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Awang Askandar meninggal dunia sehari selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke Gunung Everest dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak, pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut.

Allahyarham ketika itu bersama seorang lagi pendaki negara Muhammad Hawari Hashim, 33, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.

Muhammad Hawari dilaporkan hilang setelah berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu dan usaha mencarinya masih dijalankan.

– BERNAMA


Pengarang :