Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa bermain bunga api bersama pengunjung sempena Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Kuala Selangor di Padang Awam Bukit Badong, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 13 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

JKSA Kuala Selangor berlangsung meriah, 10,000 pengunjung hadir

KUALA SELANGOR, 13 MEI: Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) daerah Kuala Selangor hari ini berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.

Program yang diadakan di Padang Awam Bukit Badong, di sini diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad.

Program bermula jam 8 hingga 11 malam menyajikan pelbagai juadah kepada pengunjung termasuk makanan tradisi masyarakat jawa iaitu punten.

Orang ramai menikmati juadah disajikan ketika Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Kuala Selangor di Padang Awam Bukit Badong, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 13 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Juadah lain termasuk kambing bakar, sate, lemang, rendang, aiskrim tapai, kuih muih, apam balik dan pelbagai jenis air balang.

Amirudin turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir selain pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis veteran Dato’ Hael Amir, kumpulan Scorr dan Gambus Warisan Tanjong Karang.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dato’ Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli, ADN Permatang Rozana Zainal Abidin dan ADN Ijok Idris Ahmad.

JKSA bakal menutup tirainya esok di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penyanyi popular era 1970-an Dato’ Hail Amir menghiburkan pengunjung sempena Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Kuala Selangor di Padang Awam Bukit Badong, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 13 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program yang diadakan tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal 28 April lalu di Pekan Salak, Sepang diikuti di Padang Awam Hulu Bernam, Hulu Selangor (29 April), Padang Taman Sri Kerayong, Klang (30 April) dan Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei).

Ia diteruskan ke Pasar Malam Paya Jaras, Sungai Buloh (6 Mei) dan Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei).

Sebelum ini, Amirudin berkata jelajah itu antara inisiatif yang memberi peluang kepada segenap lapisan rakyat bertemu pemimpin negeri.

Beliau menjelaskan program itu mendapat sambutan sejak dianjurkan dan negeri memperuntuk RM200,000 bagi menjayakannya di sesebuah daerah.


Pengarang :