AGENDAJENAYAH

Jururawat rugi RM134,000 ditipu lelaki dikenali seminggu

MUAR, 1 MEI: Akibat terpedaya janji manis untuk mengahwininya, jururawat berputih mata apabila mendakwa kerugian RM134,000 selepas ditipu lelaki baru dikenali seminggu lalu.

Jururawat berusia 40 tahun itu berkenalan dengan suspek dipercayai warga Indonesia melalui media sosial Facebook dan mereka kerap berhubung melalui telefon.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata dalam perkenalan itu, suspek turut berjanji mengahwini mangsa.

Katanya, selepas berkenalan, suspek memberitahu mangsa mahu meminjam sejumlah wang untuk membeli tiket kapal terbang ke Indonesia kerana ibunya jatuh sakit, lapor Berita Harian.

“Suspek berjanji mahu membayar balik wang dipinjamkan selepas pulang ke Malaysia. Atas kepercayaan itu, mangsa meminjamkan wang RM300.

“Selepas itu, suspek menyatakan hasrat mahu mengahwini mangsa selepas pulang ke Malaysia dan akan memindahkan sejumlah wang RM134,000 kepadanya untuk perbelanjaan termasuk majlis perkahwinan,” katanya dalam satu kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata suspek juga meminta mangsa membuat beberapa bayaran untuk pelepasan cukai.

“Mangsa kemudian membuat tujuh transaksi bayaran berjumlah RM8,820 ke akaun bank sama. Selepas membuat bayaran itu, mangsa membuat semakan akaun bank mendapati tiada wang berjumlah RM134,000 dimasukkan seperti dijanjikan sebelum membuat laporan polis.

“Justeru, polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana masih ada lagi individu percaya dengan melayan ‘scammer’ menerusi modus operandi sama,” katanya.


Pengarang :