Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh pada 28 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kabinet tetap pertahan kalimah ‘Allah’, perakui enakmen negeri

SHAH ALAM, 17 MEI: Kerajaan Persekutuan menerima pakai ketetapan enakmen negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada Februari 2023 untuk mengekalkan dasar sedia ada berhubung penggunaan kalimah Allah.

“Jemaah Menteri menegaskan bahawa Kerajaan menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri- negeri dan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataannya, beliau berkata kerajaan juga sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan, terutama Perkara 3 berhubung Islam sebagai agama persekutuan dan agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

“Bagi menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan bersepadu, Jemaah Menteri hari ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembah cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja,” katanya.

Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan keputusan Jabatan Peguam Negara pada bulan lalu untuk menarik balik rayuan kes Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan Kristian yang mengandungi kalimah Allah.

Menurut perdana menteri, pihaknya mengambil maklum keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada 2014.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam seperti termaktub dalam enakmen.

Pendirian ini selaras keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2014 dan fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 berkaitan perkara sama, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Kerajaan Negeri menegaskan hak dan enakmen sedia ada khususnya Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 akan terus dipertahankan.

“(Pendirian) ini bermaksud perkembangan ini tidak akan menjejaskan atau mengancam pendirian Kerajaan Negeri berhubung penggunaan kalimah Allah,” katanya.

Amirudin turut menegaskan Kerajaan Negeri melindungi kepercayaan bahawa agama harus dihormati dan tidak menggugat keharmonian yang telah dibina dan menjadi asas kepada Selangor.


Pengarang :