Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir bercakap kepada media ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 11 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM: Pelan projek sisa kepada tenaga kini di peringkat penilaian

SHAH ALAM, 12 MEI: Kelulusan bagi pelan projek sisa kepada tenaga (WTE) di Taman Eko Tenaga Hijau Selangor (SGEEP), Rawang dijangka diperoleh dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata perkara itu sedang dalam proses penilaian dampak alam sekitar (EIA).

Menurutnya, pembinaan WTE itu juga merupakan langkah tepat untuk menangani isu pelupusan sampah selain mengelakkan pencemaran.

“Pelan utama WTE adalah 7,000 tan sampah akan dikutip dan dilupuskan di tapak pelupusan. Kelulusan bagi pelan ini mungkin mengambil masa enam bulan hingga setahun.

“Pelan ini akan diletakkan dalam projek SGEEP yang akan siap dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang.

“Keluasan bagi fasa pertama kira-kira 60 ekar yang kita akan bangunkan dimana SGEEP berupaya memproses 2,400 tan sampah sehari, ia hasilkan tenaga sekitar 50 megawatt,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini semalam.

Pada 25 November lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan dana RM4.5 bilion bagi pelaburan dan pembangunan prasarana untuk berkenaan melalui KDEBWM.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek SGEEP dijangka mempercepat penggunaan teknologi moden dalam menangani isu pelupusan sampah berikutan tapak sedia ada tidak dapat menampung sisa yang dijana pada masa hadapan.


Pengarang :