Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika hadir majlis penutupan Muzakarah Ulama-Umara Festival Turath islami Selangor di Shah Alam pada 25 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan hasrat edar koleksi hadis Imam Nawawi ke sekolah, galak pelajar membaca

SHAH ALAM, 25 MEI: Kerajaan berhasrat menerbitkan semula Koleksi 40 Hadis Imam Nawawi untuk diedar kepada semua sekolah di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata ia bertujuan memupuk semangat harmoni dalam kalangan pelajar selain menerapkan kefahaman yang lebih baik kepada agama Islam.

Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu akan dilaksana menerusi kerjasama Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Koleksi 40 hadis itu kita ambil ikhtiar untuk terbitkan semula supaya dapat dikirimkan di semua sekolah dan pastikan pelajar-pelajar diberikan gambaran ilmu dan huraian yang baik.

“Kalau baca hadis sahaja mungkin anak-anak kita tidak semuanya dapat hadam dengan baik dan kita boleh tanya pandangan Ali Jum’ah (bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr. Ali Jum’ah) apakah syarah yang dicadangkan untuk terbit dan edarkan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Festival tersebut diadakan 20 hingga 25 Mei bersempena program terjemahan 10 jilid kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali oleh Kerajaan Selangor.

Majlis itu turut dihadiri bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr. Ali Jum’ah; ulama-ulama Nusantara, dan beberapa pemimpin kerajaan seperti Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Luar ,Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Koleksi 40 Hadis Imam Nawawi yang turut dikenali sebagai Hadith Arba’in Nawawiyyah merangkumi konsep penting Islam menurut ajaran Rasulullah.


Pengarang :