KUALA LUMPUR, 14 MEI: Kerajaan Perpaduan yang dibentuk sejak enam bulan bermula November lalu perlu menjadi pentadbir yang kukuh dan stabil selain berfungsi dengan baik.
Ketua setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata kerajaan hasil keputusan pilihan raya umum (PRU-15) itu juga perlu mendukung kuat asas-asas disepakati serta terkandung dalam perlembagaan.
“Kerajaan kukuh, stabil dan berfungsi dengan baik ini penting sekali. Sebagai negara yang memilik rakyat berbilang kaum asas perpaduan juga sangat penting.
“Asas antara Melayu dengan bukan Melayu. Islam dengan bukan Islam. Asas ini akan dapat pelihara kepentingan rakyat bersama dan akan mengikat kita,” kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata demikian pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Dijangkakan program berlangsung sejak 10 pagi tadi menghimpunkan 10,000 perwakilan daripada 19 parti politik dalam gabungan kerajaan perpaduan.
Konvensyen bertemakan “Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia” julung kali diadakan sejak pembentukan kerajaan perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.