Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) memeriksa perbarisan kawalan kehormatan Kadet Bulan Sabit Merah Malaysia sempena Sambutan Ulang Tahun Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat PBSM di Jalan Wisma Putra pada 5 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan salur RM3 juta kepada Bulan Sabit Merah, galak kerja sukarelawan

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan RM3 juta kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bagi rangsangan dan galakan kepada persatuan itu dalam kerja-kerja sukarelawan dan bantuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RM1 juta disalurkan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan RM1 juta lagi menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) khusus bagi kerja-kerja kebajikan dan lapangan sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Manakala RM1 juga lagi kita setuju berikan untuk memperkukuh, memastikan penyelenggaraan, pengurusan ibu pejabat (Bulan Sabit Merah) di negeri-negeri supaya lebih mantap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-75 dan Perasmian Ibu pejabat Kebangsaan BSMM di sini hari ini.

Anwar berkata kerajaan sentiasa menghargai peranan sukarelawan di negara ini yang sanggup merisikokan diri sendiri dalam usaha menyampaikan bantuan dan kebajikan, sama ada di dalam mahupun luar negara.

Beliau berkata semangat yang ada dalam sukarelawan itu juga selaras dengan gagasan MADANI iaitu ihsan yang mementingkan sifat kemanusiaan sejagat tanpa mengira perkauman sempit.

“Kemanusiaan itu bererti kita ada ihsan dan kasih sayang. Nilai kemanusiaan itu apabila kita bertimbang rasa, ada kasih dan sayang, mereka akan bantu yang menghadapi masalah dan ini satu hal yang dikembangkan Bulan Sabit Merah.

“Selama 75 tahun dalam sejarah Bulan Sabit Merah ini iaitu hampir umur saya dan dengan pengalaman mereka bukan baru, di media dipaparkan setiap kali malapetaka, bencana dan perang saudara, kehadiran wakil mereka ada (terdapat yang) menyabung nyawa dan menghadapi risiko termasuk ada yang cedera,” katanya.

Justeru beliau mahu kementerian yang berkaitan untuk membantu dan mengalakkan lebih ramai anak muda untuk terlibat sama dalam kerja-kerja sukarelawan dan kebajikan.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah iaitu Pengerusi Kebangsaan BSMM.

Perdana menteri turut menzahirkan penghargaan dan memuji usaha yang dimainkan Tunku Puteri Intan Safinaz yang mempunyai komitmen luar biasa sehingga berjaya mengangkat nama baik BSMM sehingga hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :