EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim bercakap kepada media ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Pandan Indah di Kampung Pandan Dalam, Ampang Jaya pad 6 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerja turapan jalan seluruh negeri sudah bermula, tingkat kemudahan penduduk

SHAH ALAM, 16 MEI: Kerja turapan jalan rosak secara besar-besaran di seluruh negeri sudah mula dilaksanakan bulan ini, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata projek melibatkan kos RM50 juta itu dilaksana untuk meningkatkan kemudahan penduduk dan dijalankan secara menyeluruh di Selangor.

“Kita mempunyai lebih 20,000 jalan raya untuk diuruskan dan agak sukar kerana banyak kenderaan. Penggunaan jalan begitu kerap ditambah keadaan tanah lembut mengakibatkan jalan mudah rosak.

“Sebab itu, kita belanja lebih RM500 juta setahun untuk uruskan jalan. Tahun ini kita tambah RM50 juta untuk turap jalan yang agak ketinggalan dan tidak terurus,” katanya menerusi program temubual Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 hari ini.

Kerja turapan jalan rosak secara besar-besaran mula dilaksana di seluruh Selangor pada Mei 2023. Foto Facebook Pusat Informasi Negeri Selangor

Pada 16 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan projek turapan jalan raya secara mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan bawah kelolaan negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti mereka menerusi aplikasi Twitter dengan menghantar gambar, menulis aduan dan disertakan dengan tanda pagar #infrasel #daerah #namajalan.

Sejak 2021 hingga tahun lalu, syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan lebih 39,000 kerja turapan jalan bagi memastikan keselesaan pengguna.

Semua jalan berlubang itu dibaiki dalam tempoh 24 jam berdasarkan aduan orang ramai.


Pengarang :