Polis mengingatkan masyarakat untuk berwaspada ketika membuat pembelian melalui platform e-dagang dengan memastikan ia mempunyai ciri keselamatan dan sentiasa menyemak komen daripada pengguna lain. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kontraktor rugi RM571,000 terpedaya tawaran gelaran Datuk Seri menerusi telefon

KUANTAN, 26 MEI: Seorang kontraktor kerugian RM571,000 selepas diperdaya dengan tawaran mendapatkan gelaran Datuk Seri yang dibuat hanya menerusi panggilan telefon, sejak pertengahan Februari lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman berkata lelaki berusia 63 tahun itu mendakwa dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Pengelola Bijaya Istana Pahang menawarkan anugerah kebesaran itu.

“Suspek mendakwa mempunyai enam kuota anugerah tersebut dan mangsa, jika berminat mendapatkan gelaran itu hanya perlu membuat sumbangan kepada program kononnya anjuran istana secara percuma.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran turut mempelawa empat rakannya untuk mendapatkan gelaran berkenaan, menyebabkan suspek menghubunginya beberapa kali bagi meminta sumbangan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Yahaya berkata mangsa mendakwa telah memberi sumbangan sebanyak 32 kali berjumlah RM571,000 dengan semua wang itu dipindahkan secara dalam talian ke lima akaun diberikan suspek.

Mangsa mendakwa semua wang itu merupakan simpanan sendiri selain diperoleh daripada rakan yang berminat mendapatkan gelaran tersebut.

Bagaimanapun, mangsa mula berasa curiga dengan tawaran itu selepas mengeluarkan bayaran yang banyak menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Yahaya turut menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan telefon yang mencurigakan selain membuat semakan di pautan https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi. – BERNAMA


Pengarang :