PBTSELANGOR

Kutip sampah satu plastik dapat RM3, pertandingan hapus jentik-jentik tawar hadiah RM500

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM. 29 MEI: Jawatankuasa penduduk Zon 19 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menawarkan insentif RM3 kepada penduduk yang mengutip sampah di kawasan kediaman masing-masing.

Ahli majlisnya berkata elaun tersebut dibayar kepada penduduk bagi setiap beg plastik berisi sampah yang dibersihkan di kediaman dan kawasan sekitar.

“Insentif ini sebagai galakkan penduduk untuk lebih peka menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal. Jadi, kita bayar untuk satu beg plastik (sampah) untuk merangsang mereka.

“Kita juga adakan pertandingan mencari dan memusnahkan jentik-jentik, tawaran wang tunai keseluruhan RM500 disediakan,” kata Mohd Firdaus Bahb yang juga penolong pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai.

Beliau berharap langkah tersebut mengurangkan jangkitan denggi terutama di Pangsapuri Permai Ria dan Permai Prima susulan lebih 60 kes dilaporkan sehingga pertengahan bulan ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Firdaus memberitahu lebih 13 projek bawah Selangor Penyayang dilaksanakan di DUN Teratai melibatkan peruntukan sebanyak RM600,000.

Beliau turut mempelawa bakal jemaah haji di DUN berkenaan untuk segera memohon insentif Haji Muassasah bernilai RM500 supaya agihan dapat dibuat lebih awal kepada penerima yang layak.


Pengarang :