SHAH ALAM, 18 MEI: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) melaksana pelbagai usaha bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk memelihara sungai.
Pengarah urusannya berkata pihaknya mensasarkan untuk lebih dekat dengan komuniti, terutamanya penduduk tempatan dan golongan nelayan di muara sungai.

“Kita berhubung dengan komuniti kampung ini. Kemudian kita gotong-royong bersihkan jeti, kawasan-kawasan sekitar. Sekarang kita dah mulakan program lawatan sambil belajar ke sungai yang diusahakan persatuan nelayan.
“Mereka sediakan bot, kita jemput pelajar-pelajar sekolah, universiti, komuniti korporat untuk datang dan tengok sendiri keadaan Sungai Klang,” kata Syaiful Azmen Nordin ketika ditemubual Media Selangor, baru-baru ini.
Selain itu, Syaiful Azmen berkata LLSB bersama The Ocean Cleanup sedang mencari jalan untuk menggunakan semula sisa sungai terutamanya plastik bagi meminimumkan sisa sungai ke tapak pelupusan sampah.

Menurutnya, LLSB juga melaksanakan sebuah projek bersama Nestle Malaysia untuk pengeluaran dan pembersihan plastik dari perangkap sampah.
Pada 2018, Kerajaan Negeri melancarkan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) sebagai inisiatif untuk membersih, memulihara dan membangunkan Sungai Klang yang tercemar.
LLSB, sebuah anak syarikat milikan penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), telah dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi merancang dan mengurus pelaksanaan projek.
