Antara rumah yang mengalami kerosakan dalam kejadian ribut di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru pada 3 Mei 2023. Foto Facebook APM Daerah Johor Bahru
AGENDANASIONAL

Lebih 50 rumah rosak akibat ribut, tiga kereta dihempap pokok

JOHOR BAHRU, 4 MEI: Lebih 50 kediaman di Kampung Melayu Majidee di sini terjejas akibat ribut semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Larkin Mohd Hairi Mad Shah berkata antara kerosakan adalah melibatkan bumbung rumah dan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka di Dewan Kampung Melayu Majidee dalam masa terdekat bagi menempatkan penduduk terjejas.

“Ini perlu kerana rumah yang rosak itu tidak selamat untuk didiami, ada bumbung terbuka luas, jadi kami ambil keputusan buka satu PPS dan galakkan mangsa pindah sementara. Kami akan berusaha dapatkan peruntukan bantuan di peringkat negeri dan pusat.

Pokok tumbang menghempap kereta Proton Saga dalam kejadian ribut di Batu 3 1/2 Jalan Kluang – Batu Pahat pada 3 Mei 2023. Foto Facebook Balai Bomba Dan Penyelamat Penggaram

“Saya sudah hubungi Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan beliau memberi maklum balas positif berhubung perkara ini,” katanya ditemui selepas melawat kediaman mangsa yang terjejas di sini malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri itu berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat serta mengenal pasti jumlah kerugian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru dalam satu kenyataan memaklumkan tiga kereta rosak kerana dihempap pokok akibat ribut pada 2.48 petang.

Menurut sekretariat itu, laporan mengenai insiden tersebut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

– BERNAMA


Pengarang :