AGENDAJENAYAH

Lelaki pura-pura beli durian 80 kilogram sebelum melarikan diri

KLUANG, 28 MEI: Berpura-pura mahu mengambil wang dalam kenderaan pacuan empat roda, sebelum melarikan diri bersama 80 kilogram durian bernilai kira-kira RM2,500.

Itu taktik penjenayah lelaki berusia 40-an yang memperdayakan pembantu gerai jualan durian berdekatan bulatan MARDI di sini, 5.30 petang Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, bagaimanapun, kegembiraan suspek tidak lama apabila pihak berkuasa menahannya di tepi jalan Taman Desa Baiduri, Kulai, 12.30 tengah malam tadi, lapor Berita Harian.

“Dalam kejadian itu, suspek menghampiri pengadu menyatakan mahu beli durian secara borong lalu pengadu menghubungi majikannya dan suspek bersetuju dengan bayaran yang dikenakan berjumlah RM2,500.

“Pengadu kemudian mengangkat semua durian yang dibeli ke dalam kenderaan milik suspek dan berpura-pura mahu mengambil wang dalam kenderaan sebelum terus pergi meninggalkan pengadu tanpa membuat sebarang bayaran,” katanya ketika dihubungi.

Bahrin berkata, suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan empat rekod jenayah dan enam rekod salah guna dadah.

“Motif termasuk sama ada suspek mencuri buah durian untuk dijual semula itu masih dalam siasatan dan hasil ujian air kencing terhadap suspek negatif. Kita turut merampas sebuah pacuan empat roda putih dan buah durian yang mempunyai anggaran berat lebih kurang 80 kilogram.

“Permohonan reman ke atas suspek telah dibenarkan selama empat hari sehingga 31 Mei ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.


Pengarang :