Keadaan Sungai Klang yang semakin bersih setelah lebih 75,000 tan metrik sampah berjaya dikeluarkan sejak 2016. Foto ihsan Landasan Lumayan Sdn Bhd
AGENDANASIONAL

LLSB bersihkan lebih 80,000 tan sampah di Sungai Klang sejak 2016

SHAH ALAM, 18 MEI: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) membersihkan lebih 80,000 tan metrik sampah di atas permukaan Sungai Klang sejak 2016 sehingga Januari lalu.

Pengarah urusannya Syaiful Azmen Nordin berkata hasil usaha itu, Sungai Klang kini merekodkan peningkatan kualiti air iaitu pada tahap kelas dua dan satu.

“Isu pencemaran yang berlaku di Sungai Klang ini sudah lama. Kita pun sudah menjalankan program kebersihan di Sungai Klang sejak 2018, sepanjang 56 kilometer (km).

“Setakat ini kita dah keluarkan lebih 80,000 metrik tan sampah-sampah terapung dari Sungai Klang,” katanya dalam temu bual bersama Media Selangor, baru-baru ini.

Mengulas faktor menyebabkan Sungai Klang kerap tercemar dan kotor, Syaiful Azmen berkata kedudukan Sungai Klang di kawasan kepadatan tinggi adalah puncanya.

“Sungai Klang melalui kawasan-kawasan padat penduduk. Panjang Sungai Klang ini ialah 120km. Ia bukan isu orang buang sampah ke dalam sungai, tapi bila berlaku pembuangan sampah di daratan, berlaku hujan lebat, sampah akan masuk ke dalam sungai. Itu salah satu isunya.

“(Tetapi) kita tidak nafikan juga memang ada aktiviti-aktiviti yang mana tebing sungai dijadikan tempat pembuangan sampah haram,” katanya.

Pada 2018, Kerajaan Negeri melancarkan projek Selangor Maritime Gateway (SMG) sebagai inisiatif untuk membersih, memulihara dan membangunkan Sungai Klang yang tercemar.

LLSB, sebuah anak syarikat milikan penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), telah dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi merancang dan mengurus pelaksanaan projek.

 


Pengarang :