Oleh Diana Abd Wahab
SHAH ALAM, 26 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima kunjungan hormat Badan Amil Zakat Nasional (Baznas), Indonesia, semalam.
Agensi tersebut memaklumkan lawatan itu bertujuan berkongsi maklumat mengenai tadbir urus hasil kutipan zakat serta agihan kepada asnaf yang dilaksanakan LZS.
“Banyak perkongsian serta pertukaran idea dibuat antara kami dengan Baznas untuk menambah lagi pengagihan zakat kepada asnaf melalui hasil kutipan.

“Insya-Allah, semoga pertemuan ini memangkinkan lagi pertumbuhan kutipan zakat seterusnya dapat diagihkan pada insan memerlukan di Indonesia dan Malaysia khususnya di Selangor,” katanya di Facebook.
Delegasi 11 pegawai itu diketuai Ketua Bidang Pengumpulan Baznas, H Rizaludin Kurniawan yang disambut Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini.