Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap pada majlis pelancaran ulang tahun ke-10 ‘Klik Dengan Bijak’ di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya pada 17 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia di tangga 133 indeks kebebasan media dunia, tertinggi di ASEAN

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2022 dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF) merupakan pencapaian yang baik dan membanggakan buat negara.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ia juga menjadi pemangkin untuk kerajaan terus memartabatkan kebebasan media di Malaysia.

Dalam indeks berkenaan, kedudukan Malaysia meningkat kepada 113 dengan 51.55 mata berbanding tahun sebelumnya, pada kedudukan 119 (60.53 mata).

Malaysia turut menduduki kedudukan tertinggi di ASEAN, diikuti Thailand di kedudukan ke-115, Indonesia (117), Singapura (139), Kemboja (142), Brunei (144), Filipina (147), Laos (161), Vietnam (174) dan Myanmar (176).

Selain itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi dan Digital bersama pengamal media sedang meneliti draf Rang Undang-Undang Majlis Media sebelum ia dibawa ke Jemaah Menteri.

“Insya-Allah akan ada beberapa pengumuman baik buat para pengamal media menjelang Hari Wartawan Nasional (HAWANA),” katanya.

HAWANA 2023 akan diadakan di Ipoh, Perak pada 27 hingga 29 Mei ini. – BERNAMA


Pengarang :