Atlet lontar peluru negara Mohd Ziyad Zulkifli bergambar bersama pingat gangsa yang dimenangi dalam acara lontar peluru pada Sukan SEA 2023 Phnom Penh, Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo pada 9 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Malaysia raih 15 pingat emas, 15 perak, 32 gangsa takat semalam

PHNOM PENH, 10 MEI: Momentum pungutan pingat emas kontinjen negara masih perlahan selepas berakhir hari keempat temasya Sukan SEA 2023 apabila sekadar menambah lima pingat emas semalam.

Walaupun pencapaian itu adalah terbaik setakat ini, ia bagaimanapun tidak mengubah kedudukan kem Malaysia yang kekal di kedudukan ketujuh dengan kutipan keseluruhan 15 pingat emas, 15 perak dan 32 gangsa.

Pada saingan semalam, olahraga menyumbang dua emas, masing-masing satu acara terjun, renang serta snuker.

Muhammad Syafiq Puteh menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia apabila mengungguli acara 3 meter (m) papan anjal lelaki, sebelum pelari negara Shereen Samson Vallabouy dan Umar Osman, masing-masing mengungguli acara 400 meter wanita dan lelaki.

Lebih manis apabila Umar mencipta rekod baharu kebangsaan 46.34 saat (s) sekali gus meleburkan rekod lama 46.41s milik Mohd Zaiful Zainal Abidin, yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Brunei pada Julai 2001.

Skuad renang negara pula boleh menarik nafas lega apabila perenang Khiew Hoe Yean menghadiahkan pingat emas sulung bagi Malaysia dalam acara 200m gaya bebas lelaki selepas empat hari acara berkenaan berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Morodok Techo di sini.

Pemain snuker negara Moh Keen Hoo melengkapkan pencapaian lima pingat emas Malaysia semalam, apabila mengungguli acara 6-Red perseorangan lelaki.

Selepas tamat saingan semalam, menyaksikan Thailand yang sebelum ini berada di tempat ketiga, memintas untuk mendahului carta pungutan pingat dengan meraih keseluruhan 40 emas, 30 perak dan 45 gangsa.

Vietnam kekal di kedudukan kedua selepas mengutip 39 pingat emas, 39 perak dan 46 gangsa manakala tuan rumah, Kemboja yang sebelum ini berada di tempat teratas jatuh dua anak tangga di posisi ketiga dengan 39-39-39.

– BERNAMA


Pengarang :