Oleh AZIAN AZIZ
PETALING JAYA, 26 MEI : Empat keluarga mangsa kebakaran di Jalan SS5A/15, Kelana Jaya di sini berterima kasih atas keprihatinan serta bantuan Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar sejak hari kejadian pada 19 Mei.
Wakil mereka, Saleha Sulaiman, 72, berkata kesemua mangsa turut berbesar hati menerima lawatan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.
Menurut pesara guru yang turut terjejas dalam kejadian itu, perhatian dan bantuan yang diterima mereka termasuk sumbangan wang tunai serta barangan makanan hari ini amat bermakna.
“Terima kasih wakil MBI (Ahmad Azri Zainal Nor) dan Datuk Bandar Petaling Jaya (Mohamad Azhan Md Amir) kerana sudi melawat, beri kata-kata semangat dan sumbangan serta mahu usahakan bantuan baiki rumah.
“Terima kasih juga kepada YB Halimey yang banyak membantu semasa hari kebakaran lagi serta pihak lain yang tidak disebut termasuk lori angkut sampah kebakaran yang kami bersihkan setiap hari,” katanya.
Terdahulu, Ketua Tanggungjawab Sosialnya Ahmad Azri sementara MBPJ diwakili Mohamad Azhan menziarahi empat keluarga berkenaan bagi menyerahkan bantuan tunai RM6,000 serta barangan makanan.
Menceritakan kejadian pukul 2.30 petang pada Jumaat lalu, Saleha memberitahu ketika itu beliau sedang menghadiri majlis bacaan Yasin di rumah jiran berdekatan.
“Tiba-tiba ada jiran datang beritahu rumah saya terbakar dan saya terus berlari keluar menuju ke rumah saya.
“Memang tak sempat nak selamatkan banyak barang namun saya bersyukur tiada orang di rumah,” katanya yang tinggal bersama anak lelaki, menantu dan dua cucu.
Rumah Saleha antara dua rumah yang mengalami kerosakan teruk dalam kebakaran itu manakala dua lagi rumah terbakar 30 peratus.
Sementara itu seorang lagi mangsa Lim Ah Toh, 82, turut terharu apabila menerima kunjungan dan sumbangan daripada MBI dan MBPJ.
“Terubat sikit rasa sedih saya kerana rumah terbakar apabila ada yang sudi melawat,” katanya yang menetap di rumah tersebut bersama anak dan cucunya.
“Saya juga bersyukur tidak terjadi apa-apa kepada saya dan cucu kerana kami ada di rumah semasa kebakaran. Cucu saya yang berusia 14 tahun bertindak pantas menghubungi bomba semasa kejadian.”
Dua lagi mangsa yang menerima sumbangan ialah R. Shanmugam, 56, dan John Hor, 54.
Kesemua mangsa kini tinggal di rumah keluarga masing-masing sementara menunggu kediaman mereka dibaiki.