Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Azhan Md Amir menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Saleha Sulaiman di Jalan SS 15A/15, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 26 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mangsa kebakaran terharu terima sumbangan MBI-MBPJ, wakil rakyat banyak membantu

Oleh AZIAN AZIZ

PETALING JAYA, 26 MEI : Empat keluarga mangsa kebakaran di Jalan SS5A/15, Kelana Jaya di sini berterima kasih atas keprihatinan serta bantuan Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar sejak hari kejadian pada 19 Mei.

Wakil mereka, Saleha Sulaiman, 72, berkata kesemua mangsa turut berbesar hati menerima lawatan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Saleha Sulaiman

Menurut pesara guru yang turut terjejas dalam kejadian itu, perhatian dan bantuan yang diterima mereka termasuk sumbangan wang tunai serta barangan makanan hari ini amat bermakna.

“Terima kasih wakil MBI (Ahmad Azri Zainal Nor) dan Datuk Bandar Petaling Jaya (Mohamad Azhan Md Amir) kerana sudi melawat, beri kata-kata semangat dan sumbangan serta mahu usahakan bantuan baiki rumah.

“Terima kasih juga kepada YB Halimey yang banyak membantu semasa hari kebakaran lagi serta pihak lain yang tidak disebut termasuk lori angkut sampah kebakaran yang kami bersihkan setiap hari,” katanya.

Terdahulu, Ketua Tanggungjawab Sosialnya Ahmad Azri sementara MBPJ diwakili Mohamad Azhan menziarahi empat keluarga berkenaan bagi menyerahkan bantuan tunai RM6,000 serta barangan makanan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor meninjau keadaan rumah mangsa kebakaran Saleha Sulaiman di Jalan SS 15a/15, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 26 Mei 2023. Turut serta ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Azhan Md Amir. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menceritakan kejadian pukul 2.30 petang pada Jumaat lalu, Saleha memberitahu ketika itu beliau sedang menghadiri majlis bacaan Yasin di rumah jiran berdekatan.

“Tiba-tiba ada jiran datang beritahu rumah saya terbakar dan saya terus berlari keluar menuju ke rumah saya.

“Memang tak sempat nak selamatkan banyak barang namun saya bersyukur tiada orang di rumah,” katanya yang tinggal bersama anak lelaki, menantu dan dua cucu.

Rumah Saleha antara dua rumah yang mengalami kerosakan teruk dalam kebakaran itu manakala dua lagi rumah terbakar 30 peratus.

Lim Ah Toh

Sementara itu seorang lagi mangsa Lim Ah Toh, 82, turut terharu apabila menerima kunjungan dan sumbangan daripada MBI dan MBPJ.

“Terubat sikit rasa sedih saya kerana rumah terbakar apabila ada yang sudi melawat,” katanya yang menetap di rumah tersebut bersama anak dan cucunya.

“Saya juga bersyukur tidak terjadi apa-apa kepada saya dan cucu kerana kami ada di rumah semasa kebakaran. Cucu saya yang berusia 14 tahun bertindak pantas menghubungi bomba semasa kejadian.”

Saleha Sulaiman menunjukkan keadaan rumahnya di Jalan SS 15A/15, Kelana Jaya, Petaling Jaya yang hangus dalam kebakaran pada 19 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dua lagi mangsa yang menerima sumbangan ialah R. Shanmugam, 56, dan John Hor, 54.

Kesemua mangsa kini tinggal di rumah keluarga masing-masing sementara menunggu kediaman mereka dibaiki.


Pengarang :