OLEH DIANA ABD WAHAB
PETALING JAYA, 2 MEI: Kemudahan di Masjid Kampung Tunku selesai dinaik taraf bagi memenuhi keperluan jemaah wanita khususnya warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku berkata pembaikan meliputi tempat wuduk muslimah dan sengkuap hias (awning) dengan dana diluluskan mantan wakil rakyat Damansara Tony Pua.
“Sebanyak RM29,800 diperuntuk bagi penyelenggaraan tersebut. Daripada jumlah itu, sejumlah RM21,800 digunakan untuk menaik taraf tempat wuduk muslimah.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/10-500x333.jpg)
“Baki pula bagi penyelenggaraan bumbung, namun pihak masjid turut tanggung sedikit kos projek sebagai komitmen terhadap keperluan jemaah,” kata Lim Yi Wei dalam sidang media hari ini.
Beliau menambah pihaknya menjadi pemudah cara antara pengurusan masjid dengan pejabat ahli parlimen Damansara bagi memastikan usaha menaik taraf kemudahan di masjid itu tercapai.
Pada masa sama, Yi Wei turut berharap penambahbaikan itu memudahkan urusan jemaah untuk beribadah dengan selesa selain dicontohi rumah ibadat lain.
“Kita sedia berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan pihak yang berminat untuk membangunkan fasiliti serupa di kawasan mereka,” katanya lagi.