Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan pertandingan akhir debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2023 di Universiti Islam Selangor (UIS), Hulu Langat pada 28 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Debat latih pemikiran kritis, pupuk daya pimpinan pelapis negara

HULU LANGAT, 28 MEI: Pertandingan debat merupakan platform terbaik melatih pemikiran kritis dalam menyelesai dan menghurai masalah, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata debat juga mampu memupuk daya kepimpinan dalam kalangan generasi pelapis negara.

“Penganjuran setiap tahun (debat Piala Dato’ Menteri Besar) antaranya mahukan mereka yang mempunyai nilai kepimpinan, mampu menggarap dan menghurai persoalan, permasalahan seterusnya mencari jalan penyelesaian.

“Debat bukan kaedah bercakap tetapi ia adalah kaedah berfikir. Bagaimana anda menghuraikan daya fikir, jika bernas dan tepat ia akan dapat difahami tetapi jika tidak jelas tidak akan sampai kepada sasaran,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (belakang, tengah) bergambar bersama pemenang pertandingan akhir debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2023 di Universiti Islam Selangor (UIS), Hulu Langat pada 28 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar 2023 di Universiti Islam Selangor (UIS) di sini hari ini.

Pertandingan itu menyaksikan pasukan debat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membolot kejuaraan kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, piala pusingan, trofi dan sijil penyertaan.

Sebanyak 48 pasukan menyertai pertandingan itu dengan 36 penyertaan IPT manakala 12 pasukan lagi kategori prauniversiti.

Pertandingan akhir debat yang julung kali diadakan dengan konsep ala Parlimen British mengupas topik Rancangan Selangor Pertama (RS-1): Harapan Baharu untuk Selangor.


Pengarang :