Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melancarkan Tabung Dana Infak Pendidikan Islam Selangor pada sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di dewan jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 16 Mei 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Guru sekolah agama perlu kuasai teknologi digital, sedia depani perubahan zaman

SHAH ALAM, 16 MEI: Guru sekolah agama di negeri ini perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi bagi mengelak ketinggalan dengan perubahan zaman, kata Dato’ Menteri

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata golongan pendidik juga perlu berani membuat perubahan serta mendalami sumber baharu dengan lebih efektif untuk berkomunikasi bersama pelajar.

“Bidang pendidikan ini sentiasa berdepan cabaran dan cabaran itu turut berubah mengikut perkembangan zaman. Justeru, guru sekolah tidak boleh ketinggalan.

“Peranan guru amat penting dalam membentuk insaniah tetapi guru juga perlu tahu peralatan yang berada di sekitar, bukan setakat gajet tetapi juga aplikasinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Guru anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) 2023 hari ini. Turut hadir Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir.

Amirudin berkata persediaan mengajar guru tidak hanya terhad menerusi buku tetapi kini sumber rujukan semakin luas di pelbagai platform.

“Cabaran digitalisasi ini membentuk perubahan frekuensi dengan sangat pantas dan ia turut mempengaruhi budaya dan sikap. Ini harus disedari guru,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 1,000 guru sekolah agama Kelas Agama Fardhu Ain (Kafa), tahfiz, institusi agama dan sekolah pondok dari seluruh Selangor diraikan dalam majlis tersebut.

Majlis sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di dewan jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 16 Mei 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :