SHAH ALAM, 4 MEI: Dato’ Menteri Besar mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada kepada seluruh penganut agama Buddha di Malaysia dan khususnya di Selangor.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perayaan tersebut adalah detik penting bagi penganutnya kerana melambangkan pencerahan atau ‘enlightenment’ serta pemergian Gautama Buddha.
“Wesak juga dikenali sebagai Buddha Jayanti dan Buddha Purnima di negara-negara lain yang menyambutnya, contohnya di India, Nepal, Mongolia dan Tibet.
“Saya difahamkan Wesak atau dalam Bahasa Sinhala Vesak berasal dari Bahasa Pali yang juga merujuk perkataan Sanskrit ‘Vaisakha’, iaitu nama yang digunakan untuk merujuk kepada bulan April-Mei di India.
“Secara amnya, penganut agama Buddha di negeri Selangor akan mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi untuk memberi penghormatan kepada Gautama Buddha serta melafazkan Tisarana sebagai tanda memperbaharui komitmen mereka kepada ajaran dan contoh Buddha,” katanya di Facebook.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, beliau mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada seluruh komuniti Buddha di Selangor dan Malaysia.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/MB-2-500x500.jpg.webp)