Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengacau gulai daging dalam program rewang Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sabak Bernam di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB imbau kenangan masa kecil, rewang di Sabak Bernam paling meriah

SABAK BERNAM, 12 MEI: Kemeriahan program rewang sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) di Dataran Tanah Lesen di sini, mengimbau kenangan zaman kanak-kanak Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau dibesarkan dalam suasana kampung yang harmoni dan aktiviti rewang adalah amalan biasa dalam masyarakat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penduduk dalam program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sabak Bernam di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sudah tentu program ini mengimbau kenangan zaman kecil saya dahulu. Rewang ini selalu diadakan, dan ia merupakan acara yang dibuat tanpa mengira latar belakang.

“Saya harap program rewang ini terus dihidupkan semula supaya menjadi satu amalan untuk menguatkan kesepakatan dan silaturahim dalam masyarakat,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa hampir setengah jam melakukan tugasan rewang seperti mengacau dodol dan menggaul rendang dalam program rewang JKSA.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memasak bersama penduduk dalam program rewang Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sabak Bernam di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kehadiran Amirudin bersama EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah disambut lebih 500 penduduk dan pemimpin masyarakat termasuk Ahli Parlimen Sabak Bernam Kalam Salan.

Amirudin memaklumkan beliau gembira apabila melihat penganjuran program rewang di Sabak Bernam antara yang paling meriah di Selangor.

“Kita ada tiga program JKSA yang disertai bersama program rewang. Saya berpendapat di sini antara yang paling meriah. Di tempat lain juga meriah,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengacau dodol dalam program rewang Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sabak Bernam di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sebelum ini Amirudin berkata tiga majlis rumah terbuka JKSA bakal menyediakan juadah yang dimasak secara gotong-royong bersama penduduk setempat.

Program rewang tersebut melibatkan daerah Klang yang berlangsung 28 April lalu, selain Sabak Bernam dan Gombak Ahad ini.


Pengarang :