Orang ramai melihat model konsep awal pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di pusat beli belah SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kompleks Sukan Shah Alam tetap diteruskan, penuhi harapan Sultan, penyokong bola

SHAH ALAM, 18 MEI : Pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) tetap diteruskan walau apa sahaja yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, tegas Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan itu bukan hasrat beliau semata-mata sebaliknya harapan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj; Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan penyokong bola sepak Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui media selepas majlis semarakkan Syawal Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 18 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Pembinaan KSSA sebelum dan selepas PRN bukan persoalannya. Kita akan ikut prosedur dan tidak tergesa-gesa supaya tiada pertikaian.

“Apa-apa yang terjadi pembangunan ini akan diteruskan kerana ia bukan hasrat saya tetapi hasrat penyokong (bola sepak) Selangor, tidak ketinggalan Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor.

“Justeru, saya berharap projek ini dapat dijalankan seperti yang sudah diamanahkan,” katanya ketika diminta mengulas adakah projek KSSA akan dilaksanakan sebelum atau selepas PRN.

Beliau ditemui selepas majlis rumah terbuka Semarakkan Syawal MBI bersama Dato’ Menteri Besar di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata pihaknya dalam proses perbincangan akhir mengenai isu pertukaran tanah bagi projek berkenaan.

“Setakat ini belum dibawa lagi ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Sedang dalam perbincangan akhir termasuk perjanjian, isu pertukaran tanah sebelum kita memohon untuk pembinaan dan sebagainya.

“Saya harap kita dapat mempercepatkan dan projek ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya.

Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor pada Mac lalu, Sultan Selangor bertitah supaya proses pembinaan KSSA dapat dilaksanakan dengan segera secara teratur dan telus, menepati masa, kos serta kualiti yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat sewajarnya kepada rakyat Selangor.

KSSA bukan hanya mengganti Stadium Shah Alam tetapi menyediakan suasana sukan kepada semua atlet dijangka memancu potensi atlet menerusi penyediaan kemudahan berkelas dunia.

Amirudin sebelum ini memaklumkan pembangunan semula kompleks yang membabitkan kawasan seluas 76.08 hektar pada suku pertama tahun ini tidak melibatkan dana awam berikutan pelaksanaannya bersifat perkongsian awam-swasta.

Projek itu juga akan memanfaatkan akses dan kelebihan sedia ada di kawasan terbabit seperti lokasi strategik dan jaraknya yang berhampiran stesen laluan transit aliran ringan (LRT3).


Pengarang :