Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika majlis pelancaran Siri Warisan Islami Selangor dan Buku Sejarah Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 28 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB lancar tiga buku warisan Islam, umum projek terjemah kitab Imam Ghazali

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Dato’ Menteri Besar melancarkan tiga buku baharu terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Naskhah tersebut ialah Imam al Ghazali: Hayat dan Jasa Ilmuwan Ulung karya W Montgomert Watt; Risalah Tentang Kelazatan Yang Tercela (Fakhruddin al-Razi) dan Abu Zayd al-Balkhi: Memelihara Jiwa (Malik Badri).

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan projek terjemahan Siri Warisan Islami yang dimulakan dengan kitab ulung Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Beliau berkata projek istimewa itu bakal menonjolkan kehebatan ilmuwan Islam serta sumbangannya dalam ketamadunan manusia.

“Masyarakat sering melihat Islam dalam pelbagai watak sedangkan perkembangan ilmunya sangat hebat.

“Projek tersebut akan dimulakan dengan terjemahan kitab Ihya’ Ulumuddin. Selepas ini kita akan lihat dan teroka kitab oleh tokoh-tokoh lain,” katanya.

Orang ramai melihat buku di reruai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 28 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Majlis perasmian turut dihadiri Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad dan Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi.

Ketiga-tiga buku tersebut dijual pada harga RM40, RM50 dan RM60 yang boleh didapati sepanjang tempoh penganjuran pesta buku di reruai IBDE di Dewan Tun Razak 4.


Pengarang :