Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap di Majlis Ehsan Aidilfitri PKPS 2023 dan Pengiktirafan Malaysian Book of Record (MBOR) di Shah Alam pada 15 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB mengadap Sultan Selangor sebelum 25 Jun untuk bubar DUN

SHAH ALAM, 15 MEI: Dato’ Menteri Besar akan mengadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum pembatalan secara automatik pada 25 Jun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau dan lima pucuk pimpinan negeri terlibat pilihan raya negeri (PRN) mencapai kata sepakat untuk berbuat demikian pada minggu ketiga atau keempat Jun.

“Mungkin boleh jadi juga minggu kedua. Saya rasa tarikh-tarikh tersebut akan memberi peluang untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pilihan raya (negeri).

“Tujuan kita adalah untuk pilihan raya itu sekali, kita tak nak sampai dua tiga pilihan raya negeri terpaksa diulang dalam tempoh yang dekat kerana ia melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penganugerahan Malaysia Book of Records (MBOR) dan Majlis Ehsan Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima plak pengiktirafan Malaysian Book of Record (MBOR) daripada Ketua Pegawai Pemasaran MBOR Jwan Heah (kiri) ditemani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi pada Majlis Ehsan Aidilfitri PKPS 2023 dan Pengiktirafan Malaysian Book of Record (MBOR) di Shah Alam pada 15 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pada 22 Februari lalu, Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Selangor menerusi Facebook memberitahu enam negeri mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN dalam dua minggu terakhir Jun ini.

Menurut beliau perkara tersebut akan dimaklum dan dibincangkan di peringkat parti sebelum dipersembah untuk mendapat perkenan DYMM Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.

Enam negeri tersebut adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.


Pengarang :