AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB pelawa meriahkan rumah terbuka negeri mulai hari ini hingga Ahad

SHAH ALAM, 12 MEI: Rakyat Selangor dipelawa memeriahkan Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) yang diadakan selama tiga hari berturut-turut mulai hari ini.

Menerusi poster yang dikongsikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebooknya, JKSA yang bermula jam 8 malam hari ini berlangsung di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam.

Esok pula di Padang Awam Bukit Badong, Kuala Selangor dan Ahad adalah hari terakhir JKSA di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak, Gombak.

“Warga Selangor dijemput untuk menghadiri JKSA dari Jumaat hingga Ahad ini bermula jam 8 malam di kawasan disenaraikan. Hadir bersama keluarga dan kenalan sempena musim perayaan ini,” katanya.

JKSA yang diadakan tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal bermula 28 April telah berlangsung di Sepang, Hulu Selangor, Klang, Hulu Langat dan Petaling.

Sebelum ini, Amirudin berkata jelajah itu memberi peluang kepada rakyat bertemu pemimpin negeri dengan setiap lokasi mendapat sambutan menggalakkan sejak dianjurkan.

Sementara itu untuk program di Gombak, Ahad ini,  Datuk M Nasir, Dayang Nurfaizah dan Pija Mentor bakal memeriahkan sambutan.

Acara itu dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, menteri Kabinet serta pemimpin negeri.


Pengarang :