Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad (dua,kiri) , EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim (kiri),Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim (dua,kanan) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir. Abas Abdullah (kanan) melakukan gimik perasmian pecah tanah pada Majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Tapak Projek Loji Rawatan Air Sungai Rasau, Kampung Seri Cheeding, Banting pada 30 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB rasmi pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau, projek demi kelestarian bekalan air

KUALA LANGAT, 30 MEI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini merasmikan majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, Banting di sini.

Turut hadir ke projek inisiatif pembinaan loji rawatan air itu Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Ir Abas Abdullah.

Berucap pada majlis perasmian, Amirudin berkata skim itu merupakan inisiatif tambahan dalam memastikan kelestarian bekalan air di Selangor dan Lembah Klang meliputi 9 juta rakyat secara keseluruhannya.

“Pembinaan loji rawatan air terbaharu itu mencatat sejarah penting kepada operasi dan pengurusan Air Selangor.

“Ini juga merupakan usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan kelestarian bekalan air kepada negeri dan negara,” katanya.

Skim Bekalan Air Rasau terdiri daripada komponen sistem perkhidmatan air melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau dan sistem agihan bekalan air.

Dengan kapasiti penghasilan air terawat yang bersih dan selamat kira-kira 700 juta liter sehari (JLH), skim ini merangkumi sembilan bekas kolam perlombongan bijih timah dengan keluasan 489 hektar yang berfungsi sebagai Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dwi-fungsi pertama di negara ini dengan keupayaan pembekalan air serta tebatan banjir.


Pengarang :