Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Tapak Projek Loji Rawatan Air Sungai Rasau, Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat pada 30 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Rizab air Selangor cukup menjelang 2030, bekal lebih 8,000 JLH

KUALA LANGAT, 30 MEI: Selangor dijangka mempunyai margin rizab air mencukupi dengan kapasiti keseluruhan 8,765 juta liter sehari (JLH) menjelang 2030, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau, LRA Langat 2 dan LRA Labohan Dagang adalah usaha dalam memastikan bekalan air mencukupi dan lestari nagi menampung keperluan penduduk Selangor dan Lembah Klang.

“Dengan adanya LRA ini, secara keseluruhan kita akan mempunyai margin rizab yang mencukupi dan keupayaan dalam memastikan bekalan air tidak terganggu ketika berlaku pencemaran serta gangguan bekalan air.

“Pembinaan semua LRA ini meningkatkan keupayaan 41.5 peratus menjelang 2030 iaitu kapasiti pengeluaran air sehingga 8,765 JLH,” katanya pada majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua kanan) bersama Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad (dua,kiri) mendengar taklimat daripada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah (kiri) pada majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Tapak Projek Loji Rawatan Air Sungai Rasau, Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat pada 30 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Mengulas lanjut, Amirudin menjelaskan projek LRA Labohan Dagang fasa pertama kini selesai dan sudah beroperasi sekali gus mampu memastikan Kuala Langat dan sebahagian Sepang tidak terganggu jika berlaku pencemaran di Sungai Selangor.

“Projek pembinaan LRA Sungai Rasau tidak bergerak sendirian kerana pada masa sama kita akan memulakan fasa kedua LRA Labohan Dagang. Sebab itu Kuala Langat tidak terima kesan dan dampak seperti sebelum ini yang menjadi daerah terakhir jika berlaku pencemaran.

“Fasa kedua (LRA Labohan Dagang) akan menambah kapasiti 200 JLH dengan anggaran kos sebanyak RM480 juta yang dijangka siap menjelang 2029,”katanya.

Ketua Operasi Air Selangor Ir Abas Abdullah (tiga, kanan) memberi taklimat kepada media ketika sesi lawatan di LRA Semenyih 2 Dengkil, Sepang pada 18 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :