Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama diaspora dan komuniti rakyat Malaysia di San Francisco, California pada 8 Mei 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB temui rakyat Malaysia di AS, dengar pandangan majukan Selangor

SHAH ALAM, 9 MEI: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa bertemu mahasiswa dan rakyat Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat (AS) dalam lawatannya ke San Francisco, California semalam.

Dalam pertemuan itu, Dato’ Seri Amirudin Shari turut mendengar pandangan komuniti tersebut untuk terus memajukan Selangor, yang juga penyumbang terbesar ekonomi negara.

Menerusi kenyataan di Facebook, beliau juga menekankan komitmen pentadbiran negeri untuk sentiasa membela kebajikan seluruh rakyat terutama mereka yang memerlukan bantuan.

“Menerusi 46 program Iltizam Selangor Penyayang, Kerajaan Negeri memberdaya kehidupan rakyat dan memastikan tiada yang tertinggal di bumi Darul Ehsan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa berborak santai bersama mahasiswa Selangor di Los Angeles dalam lawatannya ke Amerika Syarikat. Foto Facebook Amirudin Shari

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada diaspora Malaysia yang hadir dan juga penghargaan buat Restoran Koriander yang menyajikan juadah yang amat sedap dan istimewa,” katanya.

Amirudin juga berkongsi kejayaan negeri merekod kutipan hasil melebihi sasaran selama tiga tahun berturut-turut selain Rancangan Selangor Pertama untuk pembangunan lima tahun negeri.

Sehari sebelum itu, beliau meluangkan masa bertemu mahasiswa Selangor di Los Angeles bagi mendengar idea penambahbaikan perihal tadbir urus negeri.

Beliau juga memaklumkan akan mengumumkan program khas untuk mahasiswa Selangor di luar negara, yang boleh dimanfaatkan sebagai persediaan kembali menabur bakti di tanah air.

“Mendengar pandangan mereka benar-benar membuat saya yakin semangat #KitaSelangor bukan sekadar slogan, tetapi gagasan besar yang boleh memacu negeri sebagai tanda aras serantau,” katanya.

 


Pengarang :