AGENDANASIONAL

MB ucap takziah pemergian presiden Abim pertama, negara kehilangan tokoh berjasa bangun syiar Islam

SHAH ALAM, 18 MEI: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pertama yang meninggal dunia pagi ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari nenerusi Facebook turut mendoakan roh Prof Dr Ustaz Razali Nawawi dicucuri rahmat.

“Takziah diucapkan kepada keluarga dan sahabat Allahyarham Ustaz Dr Razali Nawawi, yang telah meninggal dunia.

“Negara kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa dan memainkan peranan penting terhadap pembangunan syiar Islam di Malaysia.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya.

Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut meluangkan masa menziarahi Allahyarham yang berada dalam keadaan uzur di Bangi.

Pemergian Allahyarham di sebuah hospital swasta di Bandar Baru Bangi pada 6.45 pagi hari ini diumumkan di halaman Facebook rasmi Abim.

Razali yang juga bekas Dekan Kuliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pertama meninggal dunia pada usia 83 tahun.

Allahyarham yang dilantik sebagai presiden pertama Abim bermula tahun 1972 hingga 1974 juga mengasaskan sistem usrah pertama di negara ini.


Pengarang :