Program mewarna untuk kanak-kanak antara aktiviti Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Kuala Selangor di Dataran Esplanade Eco Grandeur, Puncak Alam pada 26 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI: Jelajah bantuan rakyat bakal jadi program tahunan negeri

SHAH ALAM, 31 MEI: Program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) yang dianjur di setiap daerah dijangka diadakan setiap tahun dalam usaha terus mendekati rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berkata jelajah bantuan rakyat itu membantu masyarakat mengetahui kemudahan yang disediakan Kerajaan Negeri.

“Ia merupakan program dimana Kerajaan Negeri amat dekat dengan rakyat. Ia juga untuk maklumkan semua kemudahan dan perkhidmatan Kerajaan Negeri.

“Kadang-kadang ada rakyat yang kurang faham dan kurang pasti. Jadi program ini dibuat untuk memaklumkan kepada semua lapisan masyarakat,” kata Norita Mohd Sidek.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan hadiah utama program JKSP di Bangunan Darul Ehsan di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Pemerbadanan (MBI Selangor) Norita Mohd Sidek bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Selangor Ahmad Azri Zainal Nor bersama pemenang hadiah utama ketika majlis Penyerahan Hadiah Utama Program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 31 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

JKSP yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membuka tirai pada 18 Februari di Klang dan berakhir di Sabak Bernam pada 19 Mac lalu.

JKSP yang dahulu dikenali sebagai Jelajah Selangor Penyayang (JSP) diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya pameran, jualan makanan, saringan kesihatan, dialog awam, sukan rakyat dan Jelajah Ehsan Rakyat.

Sementara itu, Norita berkata MBI berbesar hati untuk menyampaikan sembilan hadiah utama cabutan bertuah kepada sembilan pemenang di setiap lokasi JKSP.

Menurutnya setiap pemenang membawa pulang motosikal jenama Honda Wave Alpha 110cc bernilai RM6,000, dengan jumlah keseluruhan RM54,000.

“Pemberiah hadiah cabutan bertuah ini merupakan salah satu inisiatif dibawah Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat,” katanya.

 


Pengarang :